Friday, July 10, 2015

#37

Ma selalu usik usik padan padankan aku dengan kawan baik lelaki itu.

"Adik, tak nak belikan hadiah birthday untuk N ke?"
'Tahun ni tak kut, dia tak bagi kita pun hahaha.'
"Ish kau ni, nanti boyfriend kau lari.."
'Boyfriend? N? Ma ni memandai je.'

             Setiap kali Ma berjaya bangkitkan isu akan N yang rapat dan baik dengan aku, setiap kali itu juga Taiga mesti berdehem.
Beliau akan tersengih dan memerli, 'Apa lah baru masuk uni takkan dah fikir boyfriend ala tak cari pun nanti dia datang gak' sambil mecucuk bahu Ma dan mengangkat kening ke aku.

Setiap kali aku bentak bentak dalam diam, semua turut diam tidak menahu cara melayan emosi aku yang tak stabil. Aku akan berkerut teruk hingga bercantum kening nipis ini, semua serba serbi tak kena pada mata dan Taiga akan perlahan perlahan usap belakang aku dan berbisik menanyakan akan hal aku. Sedikit sedikit runtun hati aku dek usapan perlahan itu,aku jadi sebak.

Setiap kali aku diberi tanggungjawab, semua pasti tak gagal dari usik usik dengan jenaka puaka disebabkan imej aku yang terkenal dengan sifat clumsy dan kelam kabut dan sentiasa terserempak dengan masalah.

“Eh boleh ke erin gi bayar yuran kat bank sorang sorang? Jangan nangis kat pak guard pulak.”
“Tak nak aku naik kereta dengan erin walau ada P, boleh sesat sampai Seremban padahal nak gi Plaza Pelangi je karang.”
“Tak percaya lah dia ni nak hidup sorang kat shah alam tu. Kalau si bongsu tu lagi aku percaya lah.”
“Pandai check in untuk flight tak? Nak orang temankan ke, kau ni bukan betul.”

Taiga juga akan turut berdekah dengan mereka namun di balik tabir, beliau bawa aku ke bank menyuruh aku bersendirian sempurnakan segala urusan kewangan dengan berkiblatkan cakap tunjuk beliau dan bukan dengan bantuan siapa siapa. Taiga tak lepas bertanya “ok tadi?” setiap kali aku selesai kelas memandu dan “apa yang tak ok?” setiap kali aku mengeluh. Walau aku gelabah seketika di lapangan terbang, Taiga akan setia memerhati sambil berpeluk tubuh berdiri di belakang hujung sana meyakinkan aku. Dan beliau langsung tak pernah omong bahawasanya dia tak percaya aku tak boleh. Melihatkan betapa yakin beliau meletakkan percayanya ke aku, aku jadi sebak.

Setiap kali sampai waktunya untuk aku berpisah daripada mereka atau baru pulang ke rumah, aku akan tertawa kecil melihat Ma yang akan mengesat tubir mata setiap kali kami selesai berpelukan. Ala biasalah hati orang tua. Namun hari itu, giliran aku mengesat mata apabila aku bersalaman dengan Taiga, beliau menarik aku untuk mencium pipinya dan lantas beliau merangkul bahu untuk berdakap sebentar. Melihatkan beliau yang meminta untuk berpelukan padahal waktu selalu selalu kami hanya akan bersalaman, aku jadi sebak.

Hari itu terbaca akan satu kisah tentang seorang suami yang dahulunya tidak pandai mengaji kini hanya berdamping dengan al-Quran membuatkan aku teringat akan Taiga. Tak, kisah itu tidak berkenaan dengan Taiga. CUma gambar yang dikongsi mengingatkan aku akan beliau yang tidak pernah gagal dari memeperdengarkan alunan ayat suci setiap hari di rumah dan apabila aku sedar bahawa aku rindukan suasana itu, aku jadi sebak.

Selepas dua minggu diberi peluang beribadat di rumah Allah, kami pulang ke tanah air dengan hati yang berat. Imej bertudung ketika aku di Mekah dan Madinah aku kekalkan di sini sejurus selepas kami touchdown Malaysia. Tiada siapa siapa yang bilang apa apa ketika semua keluar bersama namun ketika aku dan Taiga sedang menunggu yang lain di luar kedai, beliau mengusap kepala aku tanpa berbicara dan sambil tersenyum lebar, aku jadi sebak.

Hari aku pulang kembali ke shah alam, hari jatuhya Hari Bapa. Menjadi diri yang serba serbi kaku dan awkward, aku jadi tak keruan setiap kali bertentang mata dengan Taiga kerana takut takut beliau mengharapkan ucapan dari bibir mungil aku. Ketika dalam perjalanan, radio mengucapkan Selamat Hari Bapa Sedunia dan aku bertambah tak keruan. Beliau yang menanyakan aku cara membalas ucapan ringkas dari Alep itu bikin bertambah lagi tak keruan. Saat menghantar aku ke dalam, Taiga memeluk aku lama, ‘jaga diri’ dan aku terlepas peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Bapa  ke beliau, aku jadi sebak.

Hari itu aku dikejutkan dengan berita sedih, jiran aku kembali ke rahmatullah meninggalkan isteri dan anak anaknya. Seorang anak perempuan yang sebaya kakak aku. Jiran sebelah rumah dan umurnya berdekatan dengan Taiga. Meninggal kerana serangan jantung walhal pada sebelah malamya, Taiga berjumpa dengan arwah masih sihat. Memikirkan ajal manusia yang pasti sampai yang pasti berlaku tanpa kita sedia atau tidak tanpa kita jangka atau tidak dan memikirkan akan ubun putih Taiga yang semakin bertambah dan keadaan kesihatannya dan kondisi beliau yang masih bekerja, aku jadi sebak.

Semoga sentiasa dirahmati Allah dan dipanjangkan umurnya untuk mewalikan aku nanti.
Semoga sentiasa dalam rahmat Allah dan dikurniakan kesihatan untuk melihat aku di atas dewan nanti.
Selamat Hari Bapa untuk hari itu.

Selamat Hari Lahir pa, x

No comments:

Post a Comment